Ahad, 24 Ogos 2008

Partikel –kah, -lah dan -tah

BENTUK –kah, –lah dan –tah dikenal sebagai partikel. Partikel juga disebut sebagai kata penegas. Semuanya daripada golongan kata tugas bahasa Melayu.
Apakah fungsi ketiga-tiga partikel ini? Bentuk –kah dan –tah merupakan partikel penegas untuk mementingkan predikat ayat tanya. Telitilah ayat-ayat contoh yang berikut:
1. Dia / ke sekolahkah?
2. Apakah / benda itu?
3. Siapatah / gerangan gadis itu?
Predikat ayat 1 ialah “ke sekolahkah”, sementara predikat ayat 2, dan 3 ialah “Apakah”, dan Siapatah”. Dengan kehadiran partikel –kah dan –tah dalam predikat, menunjukkan predikat dipentingkan lalu diletakkan di bahagian hadapan ayat sebagai penjudulan ayat.
Bentuk –lah merupakan partikel penegas untuk mementingkan predikat dalam ayat penyata songsang, ayat perintah aktif, dan ayat perintah pasif. Contohnya:
4. Beliaulah / jiran baharu kami. (ayat pasif songsang )
5. Berlarilah / di sekeliling padang itu. (ayat perintah aktif)
6. Simpanlah / wangmu itu. (ayat perintah pasif)
Oleh sebab predikat dipentingkan dengan adanya partikel –lah, maka predikat didahulukan seperti yang ternyata dalam ayat-ayat contoh 4, 5 dan 6. Dalam ayat 4 dan 5, subjeknya dilenyapkan kerana predikat lebih dipentingkan dalam bentuk ayat perintah.
Partikel –¬kah, –lah dan –tah dapat menjadi penanda predikat; maksudnya apa-apa sahaja unsur ayat yang disertainya ialah predikat. Sebagai perbandingan, telitilah struktur ayat-ayat yang kedudukan predikatnya di belakang dengan ayat songsang yang kedudukan predikatnya di depan [ayat-ayat (a)].
7. Kereta saya / itu. (S+P)
7a. Itulah / kereta saya. (P+S)
8. Guru kami / dia. (S+P)
8a. Dialah / guru kami. (P+S)
Dalam ayat 7 dan 8, unsur yang menjadi predikat ialah “itu”, dan “dia”. Tetapi dalam ayat 7a dan 8a pula, unsur yang menjadi predikat ialah “Itulah”, dan “Dialah” oleh sebab adanya partikel –lah sebagai penanda dan pementing predikat.
Sebenarnya partikel –kah, dan –tah tidak bermakna kecuali hanya bertugas untuk mementingkan predikat dalam ayat tanya (ayat 1-3). Partikel –lah juga tidak mempunyai makna apa-apa melainkan dapat bertugas untuk mementingkan predikat dalam ayat penyata, dan untuk melembutkan perintah. Bandingkan betapa lembutnya ayat perintah yang mengandungi partikel –lah dalam ayat yang berikut:
9. Makan kuih ini. (nada keras)
10. Makanlah kuih ini. (nada lembut)
Harus diingat, apabila partikel –kah, –lah dan –tah hadir dalam unsur predikat, bermakna bahawa predikat ayat dipentingkan. Oleh itu, predikat mesti dikedepankan letaknya dalam ayat supaya menjadi ayat songsang P+S.
Begitulah, huraian ringkas tentang fungsi partikel –kah, –lah dan –tah dalam ayat bahasa Melayu.
Nota:
(i) Rosnitakah dia? (betul)
Dia Rosnitakah? (salah)
(ii) Merekalah yang harus dipuji.(betul)Yang harus dipuji merekalah. (salah)

Ahad, 17 Ogos 2008

Klausa objek, pelengkap dan penerang

DALAM tulisan yang lalu, telah saya huraikan bentuk klausa yang berfungsi sebagai subjek dan predikat ayat. Pada kali ini, dalam ruangan ini, akan saya huraikan pula fungsi lain klausa.
Telitilah ayat contoh yang berikut ini:
1. Dia menerangkan bahawa keluarganya telah berpindah ke bandar.
2. Semua orang mengetahui yang kenyataannya itu tidak benar.
Klausa tak bebas dalam ayat 1 ialah bahawa keluarganya telah berpindah ke bandar. Kata bahawa ialah kata hubung pancangan komplemen yang menghubungkan klausa tak bebas itu dengan klausa utama Dia menerangkan (sesuatu).
Dalam ayat 2 pula, klausa tak bebas ialah yang kenyataannya itu tidak benar. Kata yang ialah kata hubung pancangan relatif, yang dalam ayat ini berfungsi sebagai penanda komplemen. Kata hubung yang menghubungkan klausa tak bebas dengan klausa utama Semua orang mengetahui (sesuatu). Letak klausa tak bebas tersebut sesudah kata kerja transitif mengetahui.
Dalam binaan ayat, predikat yang diisi oleh kata kerja transitif mesti diikuti oleh objek. Oleh itu, klausa tak bebas bahawa keluarganya telah berpindah ke bandar (ayat 1), dan klausa tak bebas yang kenyataannya itu tidak benar berfungsi sebagai objek kepada kata kerja transitif menerangkan (ayat 1) dan mengetahui (ayat 2).
Seterusnya, klausa juga dapat berfungsi sebagai pelengkap kepada kata kerja tak transitif, dan kata adjektif. Perhatikanlah ayat contoh yang berikut ini:
3. Dia tahu bahawa tuduhan itu fitnah semata-mata.
4. Orang Islam yakin bahawa Tuhanlah yang menentukan nasib manusia.
Klausa tak bebas dalam ayat 3 ialah bahawa tuduhan itu fitnah semata-mata, manakala dalam ayat 4 ialah bahawa Tuhanlah yang menentukan nasib manusia. Letak klausa tak bebas ayat 3 ialah sesudah kata kerja tak transitif tahu. Letak klausa tak bebas ayat 4 pula adalah sesudah kata adjektif yakin.
Dengan berdasarkan letak klausa tak bebas ini, jelaslah bahawa tugas kedua-dua klausa tersebut adalah sebagai pelengkap kepada kata kerja tak transitif tahu dalam ayat 3, dan pelengkap kepada kata adjektif yakin dalam ayat 4.
Bagaimana pula fungsi klausa tak bebas dalam ayat contoh yang berikut ini:
5. Kami mendengar berita bahawa harga minyak akan naik lagi.
6. Saya mendengar khabar bahawa pegawai itu sudah bersara.
Dalam ayat 5, klausa tak bebas ialah bahawa harga minyak akan naik lagi. Letak klausa tak bebas ini sesudah frasa nama berita. Dalam ayat 6 pula, klausa tak bebas ialah bahawa pegawai itu sudah bersara. Letak klausa ini sesudah frasa nama khabar.
Oleh sebab kedudukannya sesudah frasa nama berita dan khabar, maka kedua-dua klausa tak bebas dalam ayat 5, dan ayat 6 bertugas sebagai penerang, yakni penerang kepada frasa nama berita (ayat 5), dan khabar (ayat 6).Begitulah huraian tentang klausa tak bebas yang berfungsi sebagai objek, pelengkap dan penerang dalam binaan ayat bahasa Melayu.

Ayat tanya

AYAT tanya ialah ayat yang ditandai dengan tanda tanya (?) pada akhir ayat itu. Dalam pengucapan, ayat tanya diakhiri dengan intonasi menaik (tinggi).
Ayat tanya terbahagi kepada dua bahagian, iaitu (a) Ayat tanya yang disertai kata tanya, dan (b) Ayat tanya yang tidak disertai kata tanya.
(a) Ayat tanya dengan kata tanya
Kata tanya dalam ayat tanya jenis ini terdiri daripada kata tanya seperti apa, mana dan siapa; dan frasa kata tanya, seperti bagaimana, dari mana, dengan siapa, di mana, mengapa, dan untuk siapa. Contoh penggunaan kata tanya dan frasa kata tanya dalam ayat tanya adalah seperti yang berikut:
dengan kata tanya:
1. En. Sulaiman / mana?
2. Benda itu / apa?
3. Orang itu / siapa?
dengan frasa kata tanya:
4. Kamu / bagaimana?
5. Mereka / dari mana?
6. Puan Megawati / dengan siapa?
7. Anda / di mana?
8. Orang itu / mengapa?
9. Hadiah itu / untuk siapa?
Semua kata tanya dan frasa kata tanya yang berhuruf condong ialah predikat ayat belaka dalam susunan ayat biasa subjek mendahului predikat.
(b) Ayat tanya tanpa kata tanya
Ayat tanya yang bentuknya sama bentuknya dengan ayat penyata, tetapi berbeza oleh adanya tanda tanya (?) pada akhir ayat itu. Subjek ayat tetap mendahului predikat. Contoh:
10. Yang itu / kereta Savvy?
11. Dia / Suraj?
12. Pakaian baru itu / untuk mereka?
13. Zaidah / mempelajari tatabahasa?
Ayat tanya yang susunan biasanya subjek predikat dapat disongsangkan. Oleh itu, ayat tanya songsang ialah ayat tanya yang predikatnya didahulukan dan subjeknya dikemudiankan. Contohnya:
14. Manakah / Encik Sulaiman?
15. Apakah / benda itu?
16. Siapakah / orang itu?
17. Dengan siapakah / Puan Megawati?
18. Mengapakah / orang itu?
19. Untuk siapakah / hadiah itu?
Lawan ayat tanya songsang ialah ayat tanya biasa. Ayat-ayat dalam (a) dan (b) ialah contoh ayat tanya susunan biasa.
(i) Ayat tanya songsang biasa
Ayat tanya BM dapat disertai oleh kata partikel. Partikel ialah kata yang pada umumnya terdiri daripada satu suku kata dan tidak mempunyai makna, tetapi mempunyai fungsi tertentu dalam ayat. Misalnya partikel -kah dalam ayat-ayat tanya (14) - (19).
Tugas partikel -kah adalah untuk mementingkan predikat ayat tanya. Itulah sebabnya maka partikel -kah dikenal sebagai partikel pementing.
Apabila predikat dipentingkan, maka letaknya mestilah di hadapan, bukan di belakang. Semua predikat ayat dalam (14) - (19) disertai oleh partikel -kah, dan letaknya di hadapan. Apabila letak predikat di hadapan dan subjeknya di belakang, maka tentulah ayat songsang.
(ii) Ayat tanya songsang terbahagi
Ayat tanya songsang terbahagi ialah ayat songsang yang predikatnya terbahagi, iaitu satu di hadapan dan satu lagi di belakang; manakala subjeknya di tengah. Contoh:
20. Bagaimanakah (Predikat) dia (Subjek) datang? (Predikat)
21. Di manakah (Predikat) orang itu (Subjek) menginap? (Predikat)
22. Apakah (Predikat) dokumen (Subjek) bertaraf sulit? (Predikat)
23. Bagaimanakah (Predikat) konsep nilai kendiri (Subjek) diterapkan? (Predikat)
Dalam bentuk ayat songsang terbahagi ini, ada dua frasa yang menjadi predikatnya. Predikat yang disertai partikel -kah didahulukan. Predikat yang tidak disertai partikel -kah dikemudiankan. Subjek terletak di tengah-tengah.
Sebagai rumusan, perlu diingat bahawa apabila predikat disertai partikel -kah, maka predikat itu mestilah diletakkan di depan dan subjeknya di belakang kerana dalam bentuk ini, predikat yang dipentingkan bukan subjeknya. Maksudnya, perkara yang ditegaskan atau diutamakan yang berada dalam predikat itu diberikan perhatian. Letak atau kedudukannya tetaplah unsur predikat di hadapan, sementara subjeknya di belakang. Perhatikan bentuk baku dan tidak baku ayat tanya yang berikut ini:
24 a. Pegawai itu (S) bersarakah? (P)
(tidak baku kerana predikat bersarakah tidak dikedepankan)
b. Bersarakah (P) pegawai itu? (S)
(baku kerana mendepankan predikat yang mempunyai partikel -kah)
Apabila kata tanya (apa, mengapa, siapa, bagaimana, dll.) yang menjadi predikat disertai partikel -kah, maka predikat itu mestilah dikedepankan juga. Contoh:
25 a. Encik Othman (S) datang bilakah? (P)
(tidak baku kerana predikat bilakah tidak dikedepankan)
b. Bilakah (P) Encik Othman (S) datang? (baku kerana mendepankan predikat kata tanya (bila) berpartikel -kah)

Ayat inti, ayat dasar dan ayat tunggal

AYAT ialah unit pengucapan yang paling tinggi letaknya dalam skala sususan tatabahasa. Ayat terdiri daripada klausa yang disertai intonasi pengucapan yang sempurna. Setiap ayat mengandungi makna yang lengkap.
Ayat dikatakan juga sebagai suatu bentuk bahasa yang terjadi dengan adanya sekumpulan kata yang tersusun dalam dua bahagian, iaitu bahagian subjek dan bahagian predikat. Jumlah ayat tidak terbatas, namun semuanya itu terbahagi kepada dua golongan, iaitu golongan ayat inti dan ayat terbitan (transformasi).
Ayat inti ialah ayat yang paling sederhana bentuknya. Oleh sebab kesederhanaan bentuknya itu, kadang-kadang dinamai ayat mudah, dengan maksud bahawa bentuk binaan dan makna ayat sungguh mudah difahami. Pendeta Za’ba menamai ayat ini ayat selapis.
Ayat inti menjadi dasar bagi ayat-ayat lain yang tidak terhitung banyaknya. Oleh itu, ayat inti ini disebut juga sebagai ayat dasar kerana daripadanya dapat dibentuk atau diterbitkan pelbagai ayat lain. Pelbagai ayat lain yang terbentuk daripada ayat inti itu disebut ayat terbitan. Ayat contoh di bawah ini ialah ayat inti:
1. Fazli polis.
2. Ayah di madrasah.
3. Harga rumah itu mahal.
Harus diingat ayat inti terbina daripada satu klausa. Klausa ialah satu unit rangkaian perkataan yang mengandungi subjek dan predikat, yang menjadi konstituen kapada sesuatu ayat. Ayat (1) terbina daripada satu klausa, iaitu klausa fazli polis. Subjek klausa berkenaan ialah fazli, dan predikatnya polis. Sekiranya klausa fazli polis ini diucapkan dengan intonasi yang sempurna dan betul, klausa tersebut akan menjadi ayat yang lengkap: Fazli polis. Walaupun klausa ini sudah bertaraf ayat, subjeknya masih tetap satu, iaitu Fazli dan predikatnya satu juga, iaitu polis.
Demikian juga halnya dengan ayat (2) dan ayat (3). Kedua-duanya terbina daripada satu klausa. Klausa yang menjadi konstituen atau unsur ayat (2) dan (3) ini ialah ayah di madrasah (ayat 2), dengan unsur ayah sebagai subjek dan unsur di madrasah sebagai predikat; dan harga rumah itu mahal, dengan rumah itu sebagai subjek dan di madrasah sebagai predikat. Jikalau kedua-dua ayat ini diucapkan dengan lagu bahasa yang sempurna dan betul, maka klausa tersebut akan menjadi ayat yang lengkap.
Oleh sebab ayat (1), (2) dan (3) mengandungi satu klausa, maka ayat inti atau ayat dasar ini dinamai juga sebagai ayat tunggal. Yang dikatakan tunggal itu kerana ayat-ayat berkenaan hanya mempunyai satu subjek dan satu predikat.
Jadi, ayat inti, ayat dasar dan ayat tunggal merupakan satu golongan yang serupa bentuknya kerana mempunyai satu benda (subjek) dan satu cerita (predikat).
Telah dinyatakan tadi bahawa ayat dasar dan ayat tunggal mempunyai persamaan bentuk. Apakah ciri persamaan kedua-duanya itu? Pertama, kedua-duanya terdiri daripada satu klausa. Kedua, kedua-duanya mengandungi satu subjek dan satu predikat. Namun, antara kedua-duanya juga ada ciri perbezaan yang ketara.
Jika diperhatikan, binaan ayat dasar mempunyai konstituen subjek mendahului konstituen predikat, dan semua ayat dasar terdiri daripada ayat penyata, yakni ayat yang diucapkan dengan maksud membuat penyataan. Tetapi, tidak semua ayat tunggal terdiri daripada susunan subjek yang diikuti oleh predikat. Ada susunan yang berbeza, yakni unsur predikat, sama ada sebahagian atau seluruh, mendahului subjek. Misalnya:
4. Puan Asmah berceramah di dewan kuliah. (ayat dasar/ayat tunggal; jenis: ayat penyata; ragam: ayat aktif)
4a. Berceramah di dewan kuliah Puan Asmah. (ayat tunggal, yakni ayat songsang predikat mendahului subjek)
5. Ayah ke Kangar malam tadi. (ayat dasar/ayat tunggal; jenis: ayat penyata; ragam: ayat aktif)
5a. Ke Kangar ayah malam tadi. (ayat tunggal, yakni ayat songsang sebahagian predikat mendahului subjek)
5b. Malam tadi, ayah ke madrasah. (ayat tunggal, yakni ayat songsang dengan unsur keterangan masa dalam sebahagian predikat mendepani subjek.
Bentuk susunan ayat contoh (4) dan (5) merupakan bentuk ayat penyata, tetapi ayat 4(a), 5(a) dan 5(b) ialah bentuk ayat songsang atau ayat pasif. Jelas bahawa persamaan ayat dasar dengan ayat tunggal kedua-duanya mengandungi satu kostituen subjek dan satu konstituen predikat. Kedua-duanya terdiri daripada ayat penyata dan ayat aktif. Jika ayat tunggal mengalami perubahan kedudukan subjek-predikatnya, maka ayat tunggal itu tidak lagi menjadi ayat dasar, melainkan ayat tunggal sahaja namanya.Demikian huraian tentang ayat inti, ayat dasar dan ayat tunggal bahasa Melayu. Masing-masing ayat serupa dan berbeza.

Sabtu, 16 Ogos 2008

Benarkah Kamus Dewan Dirojakkan?

PEMINJAMAN kata asing yang disesuaikan ejaan dan sebutannya mengikut sistem ejaan atau sebutan bahasa Melayu disebut sebagai penyerapan bahasa. Penyerapan bahasa ini akan dapat memperkaya kosa kata bahasa Melayu sehingga bahasa Melayu mampu dan dapat mengungkapkan ilmu tinggi dalam pelbagai bidang ilmu.Proses ini sudah berlangsung jutaan tahun dahulu sejak bahasa Melayu mula dituturkan. Proses penyerapan kata asing ini merupakan salah satu kaedah yang digunakan untuk mencipta istilah atau kata baru dalam bahasa Melayu sekiranya konsep asing yang dibawa masuk ke dalam bahasa Melayu tidak dapat dicari padanan terjemahannya dalam bahasa Melayu.Proses ini juga berlaku pada mana-mana bahasa yang maju di dunia, seperti bahasa Jepun dan bahasa Inggeris. Malahan bahasa Inggeris sendiri telah meminjam 3/5 daripada 20,000 kosa kata umum bahasa asing seperti Latin, Greek, Perancis, Sepanyol, dan Arab. Demikian juga berlaku pada bahasa Melayu. Bahasa Melayu telah banyak meminjam kata daripada bahasa Sanskrit, Arab, Latin, Portugis, Belanda, Inggeris dan bahasa daerah di Indonesia seperti Sunda dan Jawa. Oleh sebab bahasa asing ini sudah lama terserap dalam bahasa Melayu, sebahagian besar kata yang dipinjam ini tidak lagi kelihatan asing. Contohnya, kata “bahagia” dan “alpa” daripada Sanskrit; “almari”, “beranda”, dan “bendera” daripada bahasa Portugis; “bengkel” dan “bon” daripada bahasa Belanda; “awal”, “akhir”, “akibat”, “rakyat”, dan “iklan” daripada bahasa Arab; “cawan” daripada bahasa Cina; “curi”, “andam”, dan “berniaga” daripada bahasa Tamil dan “gostan” daripada bahasa Inggeris. Semua kata pinjaman ini terakam di dalam Kamus Dewan. Kamus Dewan merupakan sebuah kamus umum yang berperanan merakamkan segala bentuk dan jenis kata yang diungkapkan oleh pengguna bahasa. Kata yang dirakamkan meliputi pelbagai konteks sosial dan situasi, daripada serendah-rendah variasi sosial seperti bahasa Mat Rempit sehinggalah kepada bahasa halus yang digunakan oleh golongan diraja. Label digunakan bagi menunjukkan variasi sosial kata berkenaan. Misalnya, bh untuk bahasa halus, ki untuk bahasa kiasan, Udg untuk istilah undang-undang, bk untuk bahasa kasar, dan bp untuk bahasa percakapan. Meskipun kata “bajet” terakam dalam Kamus Dewan, tetapi ia dilabelkan sebagai bp. Ini bermakna kata “bajet” tidak boleh digunakan dalam situasi rasmi, seperti dalam pembentangan belanjawan negara tetapi hanya boleh digunakan dalam situasi tidak rasmi, seperti dalam perbualan di rumah atau di kedai kopi.Demikian juga dengan kewujudan kata “advertensi” yang berkait rapat dengan sejarah penyusunan kamus ini. Kamus yang mula diusahakan pada tahun 1960-an ini disusun berdasarkan sebuah kamus umum bahasa Indonesia yang dihasilkan oleh Poerwadaminta. Kamus tersebut yang menjadi acuan Kamus Dewan ini memang mengandungi kata bahasa Indonesia yang sebahagiannya dipinjam daripada bahasa Belanda dan dilabelkan sebagai Indonesia Belanda (IB).Sebagai perbandingan, kata “advertensi” dan iklan merupakan kata pinjaman yang sama maknanya. Kata “advertensi” daripada bahasa Belanda manakala “iklan” daripada bahasa Arab. Oleh sebab itu, orang Melayu lebih mudah menerima “iklan” berbanding dengan kata “advertensi”, walhal kedua-duanya merupakan kata serapan. Malahan ramai yang tidak menyedari bahawa kata “iklan” ini berasal daripada bahasa Arab.Oleh itu, apabila menerbitkan edisi baru, kata “advertensi” tidak boleh dibuang tanpa alasan yang munasabah walaupun penggunaannya tidak produktif lagi dan dianggap sebagai khazanah kosa kata bahasa Melayu. Oleh yang demikian, amatlah tidak wajar jika kata serapan asing yang dirakamkan ke dalam Kamus Dewan itu dianggap usaha merojakkan bahasa Melayu. Malahan proses peminjaman kata merupakan usaha bijak bagi memperkaya kosa kata bahasa Melayu. Penyerapan dilakukan hanya jika kata yang sedia ada tidak mampu mengungkapkan konsep baru yang dipindahkan ke dalam bahasa Melayu.

Nukleus: Antara Baru, Baharu, Baru-Baru dan Baharu-Baharu

Ruangan Surat dan E-mel daripada pembaca yang disiarkan dalam Berita Harian pada 24 Januari 2008 yang lalu ada menimbulkan persoalan tentang penggunaan kata baru dan baharu. Apakah baru ataupun baharu bentuk yang betul atau yang baku? Penulis ruangan tersebut inginkan kepastian lalu mencadangkan agar kata baru yang lebih pendek dari segi suku kata dan sekali gus lebih mudah disebut diterima pakai sebagai yang betul dan baku. Ruangan Nukleus pada kali ini akan cuba mengupas kewujudan kedua-dua varian ini dalam bahasa Melayu, dengan melihat sudut sejarah kata, perkembangan tatabahasa bahasa Melayu, dan juga sosiolinguistik. Sudut sosiolinguistik merujuk kepada penggunaan sebenar kedua-dua bentuk kata ini oleh masyarakat pengguna merentas zaman.Kedua-dua bentuk, iaitu baru dan baharu merupakan dua kata yang sama makna walaupun dieja dengan cara yang agak berlainan sedikit. Bentuk kata begini yang memang lazim berlaku dalam mana-mana bahasa pun disebut sebagai varian. Antara pasangan kata lain yang dianggap sebagai varian ialah bacang dan embacang. Kedua-duanya merujuk pada buah yang sama. Variasi yang begini lazimnya wujud dan digunakan oleh kelompok pengguna bahasa yang berlainan kedudukan geografi atau dialek. Satu lagi faktor yang menyebabkan wujudnya kata yang bervarian ialah kecenderungan penutur asli bahasa Melayu untuk menggugurkan huruf “h” yang terdapat pada sesuatu kata, seperti pada hulu menjadi ulu, sahaja menjadi saja, sahaya menjadi saya, dan baharu menjadi baru.Dari segi sejarah, bentuk baharu merupakan bentuk asal kata ini yang memang banyak digunakan dalam bahasa Melayu klasik. Bagaimanapun, kajian korpus daripada bahan terbitan tahun 1980 sehingga tahun 2000 menunjukkan bahawa kekerapan penggunaan bentuk baru mengatasi bentuk baharu. Namun bentuk baharu kembali menarik perhatian pengguna bahasa apabila buku Tatabahasa Dewan Edisi Baharu (1993) membuat ketetapan bahawa bentuk baharu merupakan bentuk yang lebih baku bagi merujuk kepada sesuatu yang belum lama wujud atau new dalam bahasa Inggeris. Ekoran daripada ketetapan ini, kajian korpus daripada bahan terbitan tahun 2003 sehingga tahun 2005 menunjukkan bahawa bentuk baharu lebih produktif digunakan dalam wacana bertulis. Ini bermakna bahawa bentuk baru masih digunakan tetapi dengan jumlah yang lebih kecil berbanding dengan baharu.Dalam konteks lisan pula, bentuk baru lebih tinggi kekerapan penggunaannya berbanding dengan baharu. Apa yang menarik perhatian pengkaji bahasa ialah walaupun baru masih digunakan, namun bentuk kata terbitan yang lebih produktif terhasil ialah daripada baharu bukan daripada baru. Kata terbitan yang terhasil ialah membaharui, memperbaharu, kebaharuan, pembaharuan, dan pembaharu. Semua ini terbukti daripada cara Kamus Dewan Edisi Keempat mengendalikan kedua-dua kata ini pada halaman 105, dan 131. Pada entri baharu, takrif yang diberikan ialah baru. Di bawah entri baru pula, ada 10 makna diberikan. Namun terbitan yang dimasukkan cuma membarukan, dan tiada bentuk terbitan lain seperti pembaruan dan membarui dirakamkan.Pengendalian kedua-dua kata entri seperti ini memberikan makna yang signifikan kepada pengguna, iaitu kedua-dua baru dan baharu ialah dua varian yang mempunyai 10 makna yang serupa, tetapi baharu lebih produktif dari segi penghasilan kata terbitan. Daripada 10 peca han makna yang diberikan, tujuh daripadanya merujuk kepada penggunaan kata baru sebagai kata adjektif, seperti dalam frasa “teman baru” atau “kereta baru”. Tiga lagi makna yang diberikan merujuk kepada penggunaan baru sebagai adverba, seperti dalam ayat “Rosinah baru beranak satu”, atau “Baru digertak, dia sudah lari”. Frasa “teman baru” atau “kereta baru” boleh sahaja ditukar ganti dengan “teman baharu” atau “kereta baharu”. Begitu juga dengan ayat “Rosinah baru beranak satu” boleh sahaja ditukar ganti dengan “Rosinah baharu beranak satu”.Bentuk ganda bagi baru dan baharu memang wujud tetapi kedua-duanya membawa makna yang jauh berbeza. Baru-baru membawa makna tidak lama dahulu, seperti dalam ayat, “Kita menyokong perbahasan itu, seperti dalam perhimpunan agung baru-baru ini.” Tiada bukti korpus yang dapat menunjukkan bahawa barubaru dalam ayat di atas dapat digantikan dengan kata ganda baharu-baharu. Ini bermakna ayat “Kita menyokong perbahasan itu, seperti dalam perhimpunan agung baharu-baharu ini” tidak dapat diterima pakai.Namun kata ganda baharu-baharu dijadikan satu entri yang tersendiri dalam Kamus Dewan dengan makna sejenis ikan laut. Sesungguhnya apabila dijadikan entri yang tersendiri dengan makna yang jauh berbeza dengan baharu ataupun baru, ada kemungkinan baharu-baharu mempunyai asal usul yang tidak sama dengan baru ataupun baharu.Semoga penjelasan yang diberikan dapat meleraikan apa jua kekusutan yang dialami oleh pengguna bahasa.

Panduan Singkatan SMS Berbahasa Melayu

Penggunaan bahasa Khidmat Pesanan Ringkas (SMS) yang tidak terkawal dan sewenang-wenang oleh pengguna SMS, terutamanya dalam SMS yang disiarkan di layar televisyen telah melahirkan kerisauan kepada ahli bahasa kerana gejala ini boleh memberikan kesan terhadap perkembangan bahasa Melayu.Atas kesedaran tersebut, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) mengambil inisiatif menganjurkan “Seminar Penyelidikan: Perkembangan dan Pengaruh SMS Terhadap Bahasa Melayu.” Salah satu daripada usul yang dikemukakan dalam seminar tersebut ialah DBP perlu menerbitkan satu panduan penggunaan bahasa atau singkatan SMS yang standard.Sehubungan itu, Bahagian Penyelidikan Bahasa DBP telah diberikan tanggungjawab untuk melaksanakan satu kajian lanjutan terhadap singkatan SMS dan seterusnya menerbitkan risalah Panduan Singkatan Khidmat Pesanan Ringkas (SMS) Bahasa Melayu. Secara keseluruhannya, risalah setebal 35 halaman ini disusun dalam tiga bab utama yang mengandungi huraian tentang sejarah awal penggunaan SMS, cara-cara pembentukan dan penulisan singkatan, serta aspek-aspek semantik dalam singkatan, seperti homograf, sinonim, dan polisemi.Risalah ini diharapkan dapat dijadikan panduan dalam penulisan SMS yang standard terutamanya untuk SMS yang digunakan dalam situasi atau urusan rasmi (se perti untuk menyampaikan maklumat rasmi kepada pihak tertentu, baik kerajaan mahupun swasta). Kepentingan penggunaan SMS dalam situasi rasmi sememangnya tidak boleh dinafikan lagi kerana maklumat dapat disampaikan dengan pantas dalam masa yang sangat singkat. Maklumat itu juga dapat disimpan untuk kegunaan tertentu.Selain itu, risalah ini juga diharapkan dapat dijadikan panduan dalam penapisan bahasa SMS yang akan disiarkan dalam siaran televisyen, seperti melalui paparan mesej gerak perlahan atau mesej rerangkak.