Ahad, 17 Ogos 2008

Ayat inti, ayat dasar dan ayat tunggal

AYAT ialah unit pengucapan yang paling tinggi letaknya dalam skala sususan tatabahasa. Ayat terdiri daripada klausa yang disertai intonasi pengucapan yang sempurna. Setiap ayat mengandungi makna yang lengkap.
Ayat dikatakan juga sebagai suatu bentuk bahasa yang terjadi dengan adanya sekumpulan kata yang tersusun dalam dua bahagian, iaitu bahagian subjek dan bahagian predikat. Jumlah ayat tidak terbatas, namun semuanya itu terbahagi kepada dua golongan, iaitu golongan ayat inti dan ayat terbitan (transformasi).
Ayat inti ialah ayat yang paling sederhana bentuknya. Oleh sebab kesederhanaan bentuknya itu, kadang-kadang dinamai ayat mudah, dengan maksud bahawa bentuk binaan dan makna ayat sungguh mudah difahami. Pendeta Za’ba menamai ayat ini ayat selapis.
Ayat inti menjadi dasar bagi ayat-ayat lain yang tidak terhitung banyaknya. Oleh itu, ayat inti ini disebut juga sebagai ayat dasar kerana daripadanya dapat dibentuk atau diterbitkan pelbagai ayat lain. Pelbagai ayat lain yang terbentuk daripada ayat inti itu disebut ayat terbitan. Ayat contoh di bawah ini ialah ayat inti:
1. Fazli polis.
2. Ayah di madrasah.
3. Harga rumah itu mahal.
Harus diingat ayat inti terbina daripada satu klausa. Klausa ialah satu unit rangkaian perkataan yang mengandungi subjek dan predikat, yang menjadi konstituen kapada sesuatu ayat. Ayat (1) terbina daripada satu klausa, iaitu klausa fazli polis. Subjek klausa berkenaan ialah fazli, dan predikatnya polis. Sekiranya klausa fazli polis ini diucapkan dengan intonasi yang sempurna dan betul, klausa tersebut akan menjadi ayat yang lengkap: Fazli polis. Walaupun klausa ini sudah bertaraf ayat, subjeknya masih tetap satu, iaitu Fazli dan predikatnya satu juga, iaitu polis.
Demikian juga halnya dengan ayat (2) dan ayat (3). Kedua-duanya terbina daripada satu klausa. Klausa yang menjadi konstituen atau unsur ayat (2) dan (3) ini ialah ayah di madrasah (ayat 2), dengan unsur ayah sebagai subjek dan unsur di madrasah sebagai predikat; dan harga rumah itu mahal, dengan rumah itu sebagai subjek dan di madrasah sebagai predikat. Jikalau kedua-dua ayat ini diucapkan dengan lagu bahasa yang sempurna dan betul, maka klausa tersebut akan menjadi ayat yang lengkap.
Oleh sebab ayat (1), (2) dan (3) mengandungi satu klausa, maka ayat inti atau ayat dasar ini dinamai juga sebagai ayat tunggal. Yang dikatakan tunggal itu kerana ayat-ayat berkenaan hanya mempunyai satu subjek dan satu predikat.
Jadi, ayat inti, ayat dasar dan ayat tunggal merupakan satu golongan yang serupa bentuknya kerana mempunyai satu benda (subjek) dan satu cerita (predikat).
Telah dinyatakan tadi bahawa ayat dasar dan ayat tunggal mempunyai persamaan bentuk. Apakah ciri persamaan kedua-duanya itu? Pertama, kedua-duanya terdiri daripada satu klausa. Kedua, kedua-duanya mengandungi satu subjek dan satu predikat. Namun, antara kedua-duanya juga ada ciri perbezaan yang ketara.
Jika diperhatikan, binaan ayat dasar mempunyai konstituen subjek mendahului konstituen predikat, dan semua ayat dasar terdiri daripada ayat penyata, yakni ayat yang diucapkan dengan maksud membuat penyataan. Tetapi, tidak semua ayat tunggal terdiri daripada susunan subjek yang diikuti oleh predikat. Ada susunan yang berbeza, yakni unsur predikat, sama ada sebahagian atau seluruh, mendahului subjek. Misalnya:
4. Puan Asmah berceramah di dewan kuliah. (ayat dasar/ayat tunggal; jenis: ayat penyata; ragam: ayat aktif)
4a. Berceramah di dewan kuliah Puan Asmah. (ayat tunggal, yakni ayat songsang predikat mendahului subjek)
5. Ayah ke Kangar malam tadi. (ayat dasar/ayat tunggal; jenis: ayat penyata; ragam: ayat aktif)
5a. Ke Kangar ayah malam tadi. (ayat tunggal, yakni ayat songsang sebahagian predikat mendahului subjek)
5b. Malam tadi, ayah ke madrasah. (ayat tunggal, yakni ayat songsang dengan unsur keterangan masa dalam sebahagian predikat mendepani subjek.
Bentuk susunan ayat contoh (4) dan (5) merupakan bentuk ayat penyata, tetapi ayat 4(a), 5(a) dan 5(b) ialah bentuk ayat songsang atau ayat pasif. Jelas bahawa persamaan ayat dasar dengan ayat tunggal kedua-duanya mengandungi satu kostituen subjek dan satu konstituen predikat. Kedua-duanya terdiri daripada ayat penyata dan ayat aktif. Jika ayat tunggal mengalami perubahan kedudukan subjek-predikatnya, maka ayat tunggal itu tidak lagi menjadi ayat dasar, melainkan ayat tunggal sahaja namanya.Demikian huraian tentang ayat inti, ayat dasar dan ayat tunggal bahasa Melayu. Masing-masing ayat serupa dan berbeza.

Tiada ulasan: