Ahad, 17 Ogos 2008

Ayat tanya

AYAT tanya ialah ayat yang ditandai dengan tanda tanya (?) pada akhir ayat itu. Dalam pengucapan, ayat tanya diakhiri dengan intonasi menaik (tinggi).
Ayat tanya terbahagi kepada dua bahagian, iaitu (a) Ayat tanya yang disertai kata tanya, dan (b) Ayat tanya yang tidak disertai kata tanya.
(a) Ayat tanya dengan kata tanya
Kata tanya dalam ayat tanya jenis ini terdiri daripada kata tanya seperti apa, mana dan siapa; dan frasa kata tanya, seperti bagaimana, dari mana, dengan siapa, di mana, mengapa, dan untuk siapa. Contoh penggunaan kata tanya dan frasa kata tanya dalam ayat tanya adalah seperti yang berikut:
dengan kata tanya:
1. En. Sulaiman / mana?
2. Benda itu / apa?
3. Orang itu / siapa?
dengan frasa kata tanya:
4. Kamu / bagaimana?
5. Mereka / dari mana?
6. Puan Megawati / dengan siapa?
7. Anda / di mana?
8. Orang itu / mengapa?
9. Hadiah itu / untuk siapa?
Semua kata tanya dan frasa kata tanya yang berhuruf condong ialah predikat ayat belaka dalam susunan ayat biasa subjek mendahului predikat.
(b) Ayat tanya tanpa kata tanya
Ayat tanya yang bentuknya sama bentuknya dengan ayat penyata, tetapi berbeza oleh adanya tanda tanya (?) pada akhir ayat itu. Subjek ayat tetap mendahului predikat. Contoh:
10. Yang itu / kereta Savvy?
11. Dia / Suraj?
12. Pakaian baru itu / untuk mereka?
13. Zaidah / mempelajari tatabahasa?
Ayat tanya yang susunan biasanya subjek predikat dapat disongsangkan. Oleh itu, ayat tanya songsang ialah ayat tanya yang predikatnya didahulukan dan subjeknya dikemudiankan. Contohnya:
14. Manakah / Encik Sulaiman?
15. Apakah / benda itu?
16. Siapakah / orang itu?
17. Dengan siapakah / Puan Megawati?
18. Mengapakah / orang itu?
19. Untuk siapakah / hadiah itu?
Lawan ayat tanya songsang ialah ayat tanya biasa. Ayat-ayat dalam (a) dan (b) ialah contoh ayat tanya susunan biasa.
(i) Ayat tanya songsang biasa
Ayat tanya BM dapat disertai oleh kata partikel. Partikel ialah kata yang pada umumnya terdiri daripada satu suku kata dan tidak mempunyai makna, tetapi mempunyai fungsi tertentu dalam ayat. Misalnya partikel -kah dalam ayat-ayat tanya (14) - (19).
Tugas partikel -kah adalah untuk mementingkan predikat ayat tanya. Itulah sebabnya maka partikel -kah dikenal sebagai partikel pementing.
Apabila predikat dipentingkan, maka letaknya mestilah di hadapan, bukan di belakang. Semua predikat ayat dalam (14) - (19) disertai oleh partikel -kah, dan letaknya di hadapan. Apabila letak predikat di hadapan dan subjeknya di belakang, maka tentulah ayat songsang.
(ii) Ayat tanya songsang terbahagi
Ayat tanya songsang terbahagi ialah ayat songsang yang predikatnya terbahagi, iaitu satu di hadapan dan satu lagi di belakang; manakala subjeknya di tengah. Contoh:
20. Bagaimanakah (Predikat) dia (Subjek) datang? (Predikat)
21. Di manakah (Predikat) orang itu (Subjek) menginap? (Predikat)
22. Apakah (Predikat) dokumen (Subjek) bertaraf sulit? (Predikat)
23. Bagaimanakah (Predikat) konsep nilai kendiri (Subjek) diterapkan? (Predikat)
Dalam bentuk ayat songsang terbahagi ini, ada dua frasa yang menjadi predikatnya. Predikat yang disertai partikel -kah didahulukan. Predikat yang tidak disertai partikel -kah dikemudiankan. Subjek terletak di tengah-tengah.
Sebagai rumusan, perlu diingat bahawa apabila predikat disertai partikel -kah, maka predikat itu mestilah diletakkan di depan dan subjeknya di belakang kerana dalam bentuk ini, predikat yang dipentingkan bukan subjeknya. Maksudnya, perkara yang ditegaskan atau diutamakan yang berada dalam predikat itu diberikan perhatian. Letak atau kedudukannya tetaplah unsur predikat di hadapan, sementara subjeknya di belakang. Perhatikan bentuk baku dan tidak baku ayat tanya yang berikut ini:
24 a. Pegawai itu (S) bersarakah? (P)
(tidak baku kerana predikat bersarakah tidak dikedepankan)
b. Bersarakah (P) pegawai itu? (S)
(baku kerana mendepankan predikat yang mempunyai partikel -kah)
Apabila kata tanya (apa, mengapa, siapa, bagaimana, dll.) yang menjadi predikat disertai partikel -kah, maka predikat itu mestilah dikedepankan juga. Contoh:
25 a. Encik Othman (S) datang bilakah? (P)
(tidak baku kerana predikat bilakah tidak dikedepankan)
b. Bilakah (P) Encik Othman (S) datang? (baku kerana mendepankan predikat kata tanya (bila) berpartikel -kah)

Tiada ulasan: