Sabtu, 16 Ogos 2008

Benarkah Kamus Dewan Dirojakkan?

PEMINJAMAN kata asing yang disesuaikan ejaan dan sebutannya mengikut sistem ejaan atau sebutan bahasa Melayu disebut sebagai penyerapan bahasa. Penyerapan bahasa ini akan dapat memperkaya kosa kata bahasa Melayu sehingga bahasa Melayu mampu dan dapat mengungkapkan ilmu tinggi dalam pelbagai bidang ilmu.Proses ini sudah berlangsung jutaan tahun dahulu sejak bahasa Melayu mula dituturkan. Proses penyerapan kata asing ini merupakan salah satu kaedah yang digunakan untuk mencipta istilah atau kata baru dalam bahasa Melayu sekiranya konsep asing yang dibawa masuk ke dalam bahasa Melayu tidak dapat dicari padanan terjemahannya dalam bahasa Melayu.Proses ini juga berlaku pada mana-mana bahasa yang maju di dunia, seperti bahasa Jepun dan bahasa Inggeris. Malahan bahasa Inggeris sendiri telah meminjam 3/5 daripada 20,000 kosa kata umum bahasa asing seperti Latin, Greek, Perancis, Sepanyol, dan Arab. Demikian juga berlaku pada bahasa Melayu. Bahasa Melayu telah banyak meminjam kata daripada bahasa Sanskrit, Arab, Latin, Portugis, Belanda, Inggeris dan bahasa daerah di Indonesia seperti Sunda dan Jawa. Oleh sebab bahasa asing ini sudah lama terserap dalam bahasa Melayu, sebahagian besar kata yang dipinjam ini tidak lagi kelihatan asing. Contohnya, kata “bahagia” dan “alpa” daripada Sanskrit; “almari”, “beranda”, dan “bendera” daripada bahasa Portugis; “bengkel” dan “bon” daripada bahasa Belanda; “awal”, “akhir”, “akibat”, “rakyat”, dan “iklan” daripada bahasa Arab; “cawan” daripada bahasa Cina; “curi”, “andam”, dan “berniaga” daripada bahasa Tamil dan “gostan” daripada bahasa Inggeris. Semua kata pinjaman ini terakam di dalam Kamus Dewan. Kamus Dewan merupakan sebuah kamus umum yang berperanan merakamkan segala bentuk dan jenis kata yang diungkapkan oleh pengguna bahasa. Kata yang dirakamkan meliputi pelbagai konteks sosial dan situasi, daripada serendah-rendah variasi sosial seperti bahasa Mat Rempit sehinggalah kepada bahasa halus yang digunakan oleh golongan diraja. Label digunakan bagi menunjukkan variasi sosial kata berkenaan. Misalnya, bh untuk bahasa halus, ki untuk bahasa kiasan, Udg untuk istilah undang-undang, bk untuk bahasa kasar, dan bp untuk bahasa percakapan. Meskipun kata “bajet” terakam dalam Kamus Dewan, tetapi ia dilabelkan sebagai bp. Ini bermakna kata “bajet” tidak boleh digunakan dalam situasi rasmi, seperti dalam pembentangan belanjawan negara tetapi hanya boleh digunakan dalam situasi tidak rasmi, seperti dalam perbualan di rumah atau di kedai kopi.Demikian juga dengan kewujudan kata “advertensi” yang berkait rapat dengan sejarah penyusunan kamus ini. Kamus yang mula diusahakan pada tahun 1960-an ini disusun berdasarkan sebuah kamus umum bahasa Indonesia yang dihasilkan oleh Poerwadaminta. Kamus tersebut yang menjadi acuan Kamus Dewan ini memang mengandungi kata bahasa Indonesia yang sebahagiannya dipinjam daripada bahasa Belanda dan dilabelkan sebagai Indonesia Belanda (IB).Sebagai perbandingan, kata “advertensi” dan iklan merupakan kata pinjaman yang sama maknanya. Kata “advertensi” daripada bahasa Belanda manakala “iklan” daripada bahasa Arab. Oleh sebab itu, orang Melayu lebih mudah menerima “iklan” berbanding dengan kata “advertensi”, walhal kedua-duanya merupakan kata serapan. Malahan ramai yang tidak menyedari bahawa kata “iklan” ini berasal daripada bahasa Arab.Oleh itu, apabila menerbitkan edisi baru, kata “advertensi” tidak boleh dibuang tanpa alasan yang munasabah walaupun penggunaannya tidak produktif lagi dan dianggap sebagai khazanah kosa kata bahasa Melayu. Oleh yang demikian, amatlah tidak wajar jika kata serapan asing yang dirakamkan ke dalam Kamus Dewan itu dianggap usaha merojakkan bahasa Melayu. Malahan proses peminjaman kata merupakan usaha bijak bagi memperkaya kosa kata bahasa Melayu. Penyerapan dilakukan hanya jika kata yang sedia ada tidak mampu mengungkapkan konsep baru yang dipindahkan ke dalam bahasa Melayu.

Tiada ulasan: