Ahad, 24 Ogos 2008

Partikel –kah, -lah dan -tah

BENTUK –kah, –lah dan –tah dikenal sebagai partikel. Partikel juga disebut sebagai kata penegas. Semuanya daripada golongan kata tugas bahasa Melayu.
Apakah fungsi ketiga-tiga partikel ini? Bentuk –kah dan –tah merupakan partikel penegas untuk mementingkan predikat ayat tanya. Telitilah ayat-ayat contoh yang berikut:
1. Dia / ke sekolahkah?
2. Apakah / benda itu?
3. Siapatah / gerangan gadis itu?
Predikat ayat 1 ialah “ke sekolahkah”, sementara predikat ayat 2, dan 3 ialah “Apakah”, dan Siapatah”. Dengan kehadiran partikel –kah dan –tah dalam predikat, menunjukkan predikat dipentingkan lalu diletakkan di bahagian hadapan ayat sebagai penjudulan ayat.
Bentuk –lah merupakan partikel penegas untuk mementingkan predikat dalam ayat penyata songsang, ayat perintah aktif, dan ayat perintah pasif. Contohnya:
4. Beliaulah / jiran baharu kami. (ayat pasif songsang )
5. Berlarilah / di sekeliling padang itu. (ayat perintah aktif)
6. Simpanlah / wangmu itu. (ayat perintah pasif)
Oleh sebab predikat dipentingkan dengan adanya partikel –lah, maka predikat didahulukan seperti yang ternyata dalam ayat-ayat contoh 4, 5 dan 6. Dalam ayat 4 dan 5, subjeknya dilenyapkan kerana predikat lebih dipentingkan dalam bentuk ayat perintah.
Partikel –¬kah, –lah dan –tah dapat menjadi penanda predikat; maksudnya apa-apa sahaja unsur ayat yang disertainya ialah predikat. Sebagai perbandingan, telitilah struktur ayat-ayat yang kedudukan predikatnya di belakang dengan ayat songsang yang kedudukan predikatnya di depan [ayat-ayat (a)].
7. Kereta saya / itu. (S+P)
7a. Itulah / kereta saya. (P+S)
8. Guru kami / dia. (S+P)
8a. Dialah / guru kami. (P+S)
Dalam ayat 7 dan 8, unsur yang menjadi predikat ialah “itu”, dan “dia”. Tetapi dalam ayat 7a dan 8a pula, unsur yang menjadi predikat ialah “Itulah”, dan “Dialah” oleh sebab adanya partikel –lah sebagai penanda dan pementing predikat.
Sebenarnya partikel –kah, dan –tah tidak bermakna kecuali hanya bertugas untuk mementingkan predikat dalam ayat tanya (ayat 1-3). Partikel –lah juga tidak mempunyai makna apa-apa melainkan dapat bertugas untuk mementingkan predikat dalam ayat penyata, dan untuk melembutkan perintah. Bandingkan betapa lembutnya ayat perintah yang mengandungi partikel –lah dalam ayat yang berikut:
9. Makan kuih ini. (nada keras)
10. Makanlah kuih ini. (nada lembut)
Harus diingat, apabila partikel –kah, –lah dan –tah hadir dalam unsur predikat, bermakna bahawa predikat ayat dipentingkan. Oleh itu, predikat mesti dikedepankan letaknya dalam ayat supaya menjadi ayat songsang P+S.
Begitulah, huraian ringkas tentang fungsi partikel –kah, –lah dan –tah dalam ayat bahasa Melayu.
Nota:
(i) Rosnitakah dia? (betul)
Dia Rosnitakah? (salah)
(ii) Merekalah yang harus dipuji.(betul)Yang harus dipuji merekalah. (salah)

2 ulasan:

Desi Diarnitha berkata...

Wah bagus ya ulasannya
makasihhh

dian berkata...

Kereeennnnn
makasih bermanfaat baget

:D