Ahad, 17 Ogos 2008

Klausa objek, pelengkap dan penerang

DALAM tulisan yang lalu, telah saya huraikan bentuk klausa yang berfungsi sebagai subjek dan predikat ayat. Pada kali ini, dalam ruangan ini, akan saya huraikan pula fungsi lain klausa.
Telitilah ayat contoh yang berikut ini:
1. Dia menerangkan bahawa keluarganya telah berpindah ke bandar.
2. Semua orang mengetahui yang kenyataannya itu tidak benar.
Klausa tak bebas dalam ayat 1 ialah bahawa keluarganya telah berpindah ke bandar. Kata bahawa ialah kata hubung pancangan komplemen yang menghubungkan klausa tak bebas itu dengan klausa utama Dia menerangkan (sesuatu).
Dalam ayat 2 pula, klausa tak bebas ialah yang kenyataannya itu tidak benar. Kata yang ialah kata hubung pancangan relatif, yang dalam ayat ini berfungsi sebagai penanda komplemen. Kata hubung yang menghubungkan klausa tak bebas dengan klausa utama Semua orang mengetahui (sesuatu). Letak klausa tak bebas tersebut sesudah kata kerja transitif mengetahui.
Dalam binaan ayat, predikat yang diisi oleh kata kerja transitif mesti diikuti oleh objek. Oleh itu, klausa tak bebas bahawa keluarganya telah berpindah ke bandar (ayat 1), dan klausa tak bebas yang kenyataannya itu tidak benar berfungsi sebagai objek kepada kata kerja transitif menerangkan (ayat 1) dan mengetahui (ayat 2).
Seterusnya, klausa juga dapat berfungsi sebagai pelengkap kepada kata kerja tak transitif, dan kata adjektif. Perhatikanlah ayat contoh yang berikut ini:
3. Dia tahu bahawa tuduhan itu fitnah semata-mata.
4. Orang Islam yakin bahawa Tuhanlah yang menentukan nasib manusia.
Klausa tak bebas dalam ayat 3 ialah bahawa tuduhan itu fitnah semata-mata, manakala dalam ayat 4 ialah bahawa Tuhanlah yang menentukan nasib manusia. Letak klausa tak bebas ayat 3 ialah sesudah kata kerja tak transitif tahu. Letak klausa tak bebas ayat 4 pula adalah sesudah kata adjektif yakin.
Dengan berdasarkan letak klausa tak bebas ini, jelaslah bahawa tugas kedua-dua klausa tersebut adalah sebagai pelengkap kepada kata kerja tak transitif tahu dalam ayat 3, dan pelengkap kepada kata adjektif yakin dalam ayat 4.
Bagaimana pula fungsi klausa tak bebas dalam ayat contoh yang berikut ini:
5. Kami mendengar berita bahawa harga minyak akan naik lagi.
6. Saya mendengar khabar bahawa pegawai itu sudah bersara.
Dalam ayat 5, klausa tak bebas ialah bahawa harga minyak akan naik lagi. Letak klausa tak bebas ini sesudah frasa nama berita. Dalam ayat 6 pula, klausa tak bebas ialah bahawa pegawai itu sudah bersara. Letak klausa ini sesudah frasa nama khabar.
Oleh sebab kedudukannya sesudah frasa nama berita dan khabar, maka kedua-dua klausa tak bebas dalam ayat 5, dan ayat 6 bertugas sebagai penerang, yakni penerang kepada frasa nama berita (ayat 5), dan khabar (ayat 6).Begitulah huraian tentang klausa tak bebas yang berfungsi sebagai objek, pelengkap dan penerang dalam binaan ayat bahasa Melayu.

Tiada ulasan: